Zakuan Asyraf

Zakuan Asyraf
Salam Ukhuwah

Monday, July 9, 2012

Sekiranya Dirimu Diuji Tuhan

Assalamualaikum,
Alhamdulillah syukur kepada Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kerana diberi kesempatan kepada saya untuk update entry pada kali ini. Entry kali ini secara khususnya saya tujukan kepada diri saya sendiri serta umumnya kepada para sahabat pembaca sekalian. Allah yang bersifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim tidak pernah membebani hambaNya dengan ujian yang tidak sanggup ditanggung hambaNya.
Di dalam Al-Quran, Allah telah berfirman berkenaan ujian-ujian ke atas hambaNya untuk melihat sejauh mana keimanan hamba-hambaNya.Allah berfirman di dalam surah Al-Ankabut, ayat 2 bermaksud “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji?
Namun ujian-ujian yang Allah datangkan, tidak kiralah samada berbentuk rohaniah atau jasmaniah, samada yang meruntun jiwa, menguji kecekalan hati atau melihat tahap kesabaran bagi menghadapi dunia yang semakin hari semakin tampak kejahilan penduduknya (contohnya hal berkaitan Seksualiti Merdeka 2011) atau krisis kewangan yang melanda keluarga-keluarga muslim di Malaysia, adalah ujian yang Allah telah khabarkan boleh kita lepasi. (Jangan lupa untuk membaca pendapat dari laman web Saifulislam dan ustaz Zaharuddin berkenaan isu Seksualiti Merdeka, ia suatu pencerahan yang wajar dibaca)
Jadi, di manakah nasnya bagi hal-hal seperti yang diperkatakan? InsyaAllah ana akan senaraikan beberapa nas dari Al-Quran sebagai bukti bahawa Allah tidak akan menguji hambaNya melebihi kemampuan hambaNya.
Di dalam surah Al-Baqarah ayat 233, Allah berfirman maksudnya, “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.
Di dalam surah yang sama iaitu Surah Al-Baqarah, ayat 286, Allah berfirman maksudnya, Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dan berkata):” Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau tersalah. Wahai tuhan kami! Janganlah Engkau membebani kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu dari kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, dan berikanlah rahmat kepada kami, dan beri Penolong kami oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.

Dan di dalam Surah Al-An’am, ayat ke 152, Allah berfirman maksudnya, “Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil”.Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya“dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu); dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhiNya)“.

Juga di dalam Surah Al-A’raf ayat 42, Allah berfirman maksudnya, “Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh – (dengan tidak menjadi keberatan kepada mereka, kerana) Kami tidak memberati diri seseorang (dengan kewajipan) melainkan sekadar yang terdaya olehnya, – merekalah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya.

Di dalam Surah Al-Mukminun, ayat 64, Allah berfirman maksudnya,Dan Kami tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya; dan di sisi Kami ada sebuah Kitab (suratan amal) yang menyatakan segala-galanya dengan benar, sedang mereka tidak dianiaya.”

Serta di dalam Surah At-Tallaq, ayat 7, Allah berfirman maksudnya, “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.

p/s : Jadi, sekiranya muncul ujian-ujian maka InsyaAllah sama-samalah kita berusaha untuk menghadapinya dengan penuh kecekalan dan ketabahan, semoga Allah memberi kekuatan kepada kita. Janganlah kita berputus asa dengan ujian yang menimpa atau bakal menimpa kita.

No comments:

Post a Comment